Baru-baru ini kita dikejutkan dengan 2 berita mengenai kematian kanak-kanak malang yang didera oleh ibu kandungnya sendiri sehingga meninggal dunia... Disamping itu juga menerusi halaman Harianmetro Online kejadian seorang kanak-kanak perempuan yang dikelar oleh warga asing turut menyayat hati seluruh masyarakat Malaysia.
Kejadian-kejadian sebegini amatlah membimbangkan!. Pendedahan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWM) bahawa hampir 3,900 kes penderaan kanak-kanak dilaporkan tahun lalu dan sekurang-kurangnya 1,023 kes penderaan kanak-kanak dilaporkan sepanjang Januari hingga Mac tahun ini cukup membimbangkan kita semua.
Naib Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) Tan Sri Lee Lam Thye berkata, statistik itu cukup membimbangkan dan menunjukkan kanak-kanak kini makin terdedah dengan penderaan, termasuk secara seksual membabitkan penjaga mereka sendiri.
Katanya, antara faktor dikenal pasti menjadi punca masalah itu berkaitan dengan ibu bapa dan penjaga yang menghadapi tekanan di tempat kerja, masalah kewangan atau rumah tangga. “Kegagalan ibu bapa menghadapi tekanan di tempat kerja antara punca mereka melepaskan geram sehingga memukul dan mencederakan anak.
“Faktor luaran seperti kejiranan, latar belakang keluarga, persekitaran sosial dan keadaan hidup juga antara punca penderaan ini,” katanya.
Sehubungan itu, Lee mencadangkan kerajaan mengambil pendekatan baru untuk menangani masalah itu seperti bekerjasama dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) melaksanakan program komprehensif berasaskan komuniti mengenai pembangunan kesihatan mental.
“Majikan juga mesti membantu pekerja menghadapi tekanan kerja dengan menyediakan perkhidmatan kaunseling dan bantuan psikologi.
“Kerajaan juga perlu berusaha mengkaji semula keberkesanan tindakan diambil dalam menangani isu penderaan kanak-kanak dan memberi perlindungan secukupnya kepada mangsa,” katanya.
Justeru itu, kami sebagai Ahli Jawatankuasa KRT Taman Raja Tun Uda memohon kepada semua warga taman agar dapat menunjukkan sedikit keprihatinan mereka terhadap kes-kes penderaan dan kes-kes yang melibatkan kanak-kanak ini.
Jadilah warga taman yang prihatin dan komited untuk menangani apa jua bentuk penderaan dan sebagainya bagi memastikan Taman Raja Tun Uda ini tidak terkenal dengan kes-kes atau kejadian-kejadian yang melibatkan kanak-kanak kecil yang tidak berdaya dan berkuasa.
Sekian, terima kasih.
Ulasan
Catat Ulasan