Telah banyak kejadian pecah rumah dan aktiviti ragut serta samun berlaku di kawasan kediaman di sekitar kawasan Semenyih ini hinggakan kawasan ini dikategorikan sebagai "black area" oleh pihak berkuasa polis.
Disebabkan itu, nyatalah bahawa mewujudkan sistem keselamatan dan pengawal keselamatan yang ketat dan jitu merupakan salah satu kewajipan oleh penduduk taman dan juga ahli jawatankuasa KRT RTU diketika ini.
Dikala ini, pihak KRT RTU telah pun melantik sebuah syarikat security dengan jumlah bayaran sebanyak RM50 sebulan. Walaupun jumlah ini dikatakan agak mahal bagi sesetengah penduduk, namun demi keselamatan kita dan keluarga kita maka jumlah ini difikirkan amatlah berpatutan dan tidaklah membebankan sangat rata- rata penduduk.
Memanglah adakalanya urusan pembayaran duit security ini dirasakan agak sukar bagi sesetengah penduduk yang bekerja balik lewat malam dan sebelum subuh hadam sudah bergerak ke pejabat..
Keadaan ini diburukkan lagi dengan ketiadaan sistem pembayaran secara dalam talian yang sering dipraktikkan oleh kebanyakan syarikat kemudahan awam seperti TNB, SYABAS, ASTRO, CELCOM dan lain lain lagi.
Disamping ketiadaan ketua blok kerana bekerja atau outstation saban hari menyukarkan penduduk untuk membuat pembayaran duit security ini.
Keadaan ini sebenarnya sedang dalam proses pembaikan oleh pihak keselamatan KRT RTU di mana kami sedang mencari quotation syarikat security yang lebih cekap disamping penggunaan "auto-gate" yang dapat memastikan pihak luar tidak dapat masuk dengan mudah ke dalam taman perumahan ini.
Perkara ini sedang diperhalusi dan akan dilaksanakan dalam sedikit masa lagi.. Namun suka juga pihak kami mengingatkan penduduk bahawa proses ini mengambil masa yang lama sedikit disamping pelaburan duit yang agak banyak untuk dilaksanakan. Tanpa bantuan kewangan daripada penduduk taman sememangnya perkara ini bakal menjadi sulit dan perit untuk diselesaikan.
Justeru, Harapan kami agar seluruh penduduk Taman Raja Tun Uda Semenyih dapat bersabar dan teruskan memberikan sokongan dan dorongan kepada pihak kami untuk membuat yang terbaik demi kesejahteraan hidup kita bersama.
Seperkara lagi yang WAJIB diingatkan disini ialah mengenai disiplin penduduk di dalam menyerahkan bayaran security kepada ketua blok yang telah dilantik. Kegagalan penduduk membayar tepat pada waktunya boleh merencatkan segala perancangan kami didalam mewujudkan sistem keselamatan yang teratur dan tersusun.
Kami menyeru kepada semua penduduk taman agar dapat memastikan bahawa setiap 5hb bayaran security telah pun dilunaskan. Dalam pada itu juga kami turut berharap agar masalah untuk mencabut semula tag security tidak menjadikan suasana harmoni di taman ini tergendala. Besar harapan kami agar sentiasa wujud kemesraan diantara AJK dengan penduduk taman didalam soal keselamatan ini.
Sekian dulu buat kali ini, "Bayar awal, elakkan pemotongan berlaku dirumah anda"
Wassalam.
Ulasan
Catat Ulasan